ceramah tentang isu gejala buli dalam kalangan pelajar

Isu buli dalam kalangan pelajar masih menghantui institusi pendidikan dan merupakan satu stigma kepada sistem pendidikan kita. Bagi pelajar yang mengalaminya tentu sahaja perasaan trauma dan fobia akan sentiasa menyelubungi diri dan kemungkinan besar akan takut untuk pergi ke sekolah. Aura sekolah akan hilang dan mereka mengganggap sekolah sebagai neraka.

Kebanyakan kes buli yang dilaporkan bukan sekadar memeras ugut, mengambil harta atau duit pelajar lain, malahan ada yang sanggup memukul dan mendera serta menyeksa. Ada yang lebih tragis lagi berlakunya kematian. Kes kematian ini seperti yang dilaporkan berlaku di Cheras iaitu seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia di hospital selepas tidak sedarkan diri akibat cedera parah kerana dibelasah gara-gara berebut teman wanita. Berita sedih yang menyayat hati ini dilaporkan berlaku pada 13 Februari 2009.

Berita kematian tersebut, tidak berhenti setakat itu sahaja. Beberapa peristiwa yang melibatkan kecederaan terus berlaku. Antara berita seperti kepala pelajar dihentak pada tiang, menyepak dan memukul menggunakan cerek dan benda tumpul, dibelasah oleh sepuluh orang pelajar dan dilibas dengan senjata tajam seperti pisau lipat dan lawi ayam. Kejadian buli seperti ini dilakukan oleh pelajar senior di sekolah menengah di seluruh negara. Yang menjadi tanda tanya ialah pelajar yang mendapat pendidikan agama turut melakukan perbuatan yang tidak bermoral ini.

Tampaknya kejadian buli seperti ini bukan sahaja membimbangkan, malahan sudah sampai tahap membahayakan. Mana tidaknya? Kes buli sudah melibatkan senjata tajam yang boleh meragut nyawa. Hal ini bererti gejala samseng sudah menular dalam pekarangan sekolah. Kalangan pelajar sudah tidak gentar menjadikan jenayah sebahagian daripada aktiviti mereka. Kejadian buli bukan sahaja sekadar yang kuat memerintah yang lemah, malah ada yang sampai hati dan tergamak membunuh.

Natijahnya, gejala buli wajar ditangani hingga akar umbinya. Jika tidak, gejala buli ini akan menjadi penghalang kepada kemajuan negara. Institusi pendidikan sepatutnya menjadi tempat yang paling selamat untuk menimba ilmu dan mendidik anak-anak menjadi modal insan berguna kepada keluarga, bangsa dan negara. Pepatah Melayu mengatakan melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Surat rasmi

Surat Rasmi


A. Jenis surat rasmi:

i. Surat aduan – sampah, gejala sosial, kafe siber, masalah pencemaran, kilang haram dan sebagainya.
ii. Surat permohonan – pekerjaan, kemudahan asas, kemudahan sekolah dan sebagainya.
iii. Surat bantahan – bantahan sesuatu perkara yang mendatangkan masalah atau kesan negatif.
iv. Surat cadangan – cadangan mengadakan sesuatu, cadangan mengatasi sesuatu masalah dan sebagainya.
v. Surat jemputan – perkahwinan, menghadiri majlis dan sebagainya.

B. Penerima dan alamat surat rasmi.
i. Penerima surat rasmi – penerima perlu sesuai dengan situasi surat yang ditulis. Contohnya, jika kebakaran (bomba – Ketua Balai Bomba), kecurian (polis – Ketua Balai Polis XXXXXX), sampah sarap (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur – Ketua Penguat Kuasa), jabatan kerajaan (Pengarah) dan sebagainya.

ii. Alamat penerima – Jika anda tidak pasti alamat penerima, jangan bimbang kerana anda boleh menciptanya sendiri. Contohnya, jika alamat individu (ada nombor rumah, ada nama jalan, ada nama taman, ada poskod, ada nama bandar, ada negeri). Jika alamat jabatan kerajaan atau agensi kerajaan (ada tingkat, ada nama bangunan, ada nama jalan, ada poskod, ada nama bandar, ada nama negeri).

Contoh : Masalah sampah sarap tidak diangkut.

Ketua Penguat Kuasa
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,
Tingkat 5, Bangunan Menarajaya,
Jalan Bunga Raya,
56000 Kuala Lumpur.


B. Format Surat Rasmi:


1. Nama dan alamat pengirim – di sudut kiri surat.
(Selepas itu langkau sebaris dan lukis garisan panjang)
(Sebaiknya selepas setiap perenggan berakhir, langkau satu baris)

2. Penerima dan alamat penerima – di sudut kiri surat.

3. Tarikh dengan huruf besar – di kanan dan selari dengan baris terakhir alamat penerima.

4. Panggilan hormat (Tuan/ Puan/ Datuk dan sebagainya yang sesuai) – di kiri dan tanda koma.

5. Tajuk surat – Semua perkataan awal dengan huruf besar, kecuali untuk kata hubung, sendi dan kata bantu. Garisi tajuk dan jangan letak tanda titik pada akhir ayat.

6. Pengenalan surat – nyatakan siapa anda + mewakili siapa (jika anda sebagai wakil) + tujuan surat ditulis. (tulis rapat di kiri surat dan jangan letak sebarang nombor)

7. Isi surat: (Bermula dari perenggan kedua dan seterusnya, letak nombor bermula dengan 2 dan seterusnya pada setiap perenggan dan mulakan perenggan agak ketengah – 2 ½ sm dari nombor)

i. Huraian isu atau huraian masalah yang ditulis (di mana + sejak bila + nama pihak penyebab masalah + masa masalah berlaku + siapa terlibat + dan apa-apa juga maklumat awal tentang isu atau masalah itu yang dapat digunakan bagi membantu pihak yang anda beritahu)

ii. Kesan daripada isu atau masalah itu kepada anda atau orang yang anda wakili. Kesan ini mesti diulas, sama seperti anda menulis karangan biasa (ada isi, huraian, contoh dan kesimpulan kecil) Sebaik-baiknya, 1 kesan ditulis dalam satu perenggan)

iii. Cadangan mengatasi masalah – anda boleh memberi cadangan awal untuk mengatasi masalah atau isu yang anda tuliskan.
8. Penutup surat – tuliskan harapan anda dan iringan terima kasih.

9. Tulis ucapan terima kasih – di kiri dan rapat dengan garisan. (Jangan letak nombor)
(Selepas itu, langkau 3 hingga 4 baris)

10. Tulis pengesahan:
- “Yang menjalankan tugas” (jika tujuan rasmi) dan “Yang benar” (jika tujuan persendirian)
- Tandatangani
-(NAMA) dengan huruf besar dan dalam kurungan
-Nama jawatan (Ikut kehendak soalan jika dinyatakan), jika tidak tulislah Setiausaha. Jika tujuan persendirian, tidak perlu menulis jawatan.
-Nama institusi, persatuan atau taman perumahan yang anda wakili.

11. Pastikan anda menggunakan frasa gramatis, peribahasa atau kata-kata hikmat seperti anda menulis karangan yang lain.

...................................................................................................................................
CONTOH: MENULIS SURAT KIRIMAN RASMI

Soalan :
Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yang timbul berpunca daripada pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu. Sebagai wakil penduduk di tempat anda. tulis sepucuk surat kepada pihak yang berkuasa bagi mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat diselesaikan.

Contoh jawapan surat rasmi.


Lin Cheng Heng,
No.6, Jalan Limau Purut 3,
Taman Cheras Perdana,
52400 Kuala Lumpur.

____________________________________________________________________
Ketua Balai,
Balai Polis Cheras,
Jalan Ikan Emas 2,
53000 Cheras,
Kuala Lumpur…… ……………………………………………………………………….16 JULAI 2008

Tuan,

Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana

Merujuk perkara di atas, saya Lin Cheng Heng selaku setiausaha penduduk Taman Perdana, ingin membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai bilangannya di kawasan tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai, pelbagai masalah sosial telah timbul sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.

2.……………Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan ramai pekerja tanpa izin bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di situ ada semut. Kebanyakan daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4 dan Jalan Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh pemaju dan didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan penduduk tempatan di kawasan ini.

3.………….Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan makmur. Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah segala-galanya. Kejadian kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga kini terdapat 6 kejadian pecah rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis. Kebanyakan rompakan tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang semula. Kami juga percaya bahawa kejadian jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui pertuturan mereka semasa kejadian jenayah itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan penduduk di kawasan ini.


4.………….Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan tidak sopan terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat daripada bekerja telah diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan kata-kata berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan pergaduhan di antara pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di kawasan ini, kami berasa bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas keluarga kami. Justeru, kami berharap agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan kerana nasi sudah menjadi bubur.

5.………….Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga melakukan pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah kami maklumi melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan mereka ketika melakukan jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Keadaan ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami takut sekiranya ada di antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat tersebut. Justeru kami meminta agar pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.


6.………….Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat mengambil tindakan dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah meminta pihak tuan membuat serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan kediaman kami. Kami juga mencadangkan agar pihak tuan dapat membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian jenayah yang membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan bantuan dan kerjasama daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan.


7.………….Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang menjalankan tugas,

Linchengheng
...................
(LIN CHENG HENG)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana.

Contoh Surat Tidak Rasmi

Contoh surat kepada sahabat.
Soalan:
Tulis sepucuk surat kepada seorang rakan anda di luar negara untuk menceritakan masalah penyakit berjangkit yang sedang melanda negara anda. Nyatakan juga langkah yang telah diambil untuk mengatasi masalah penyakit tersebut.
Contoh jawapan:
...........................................................................................Sugintut A/L Kelekathu
...........................................................................................No. 4, Jalan Cheras Raya,
...........................................................................................Taman Cheras Perdana,
...........................................................................................56200 Kuala Lumpur.
...........................................................................................26 Julai 2008.


.................Kehadapan sahabatku yang sentiasa diingati, Saudara Micheal J. Pundiek, yang kini berada di , India. Saya berharap agar saudara sentiasa berada dalam kandungan sihat walafiat bersama-sama dengan keluarga saudara.

Saudara Micheal,
................Bagaimana keadaan saudara di sana sekarang? Untuk makluman saudara, saya dan keluarga saya di Kuala Lumpur sihat seperti biasa. Pada masa ini, saya agak sibuk dengan pelajaran saya kerana Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal saya duduki semakin hampir. Setiap hari saya terpaksa pulang lewat ke rumah kerana menghadiri kelas tambahan yang diadakan di sekolah saya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Saya percaya mampu untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Walau bagaimanapun saya memohon agar saudara mendoakan saya supaya lulus dengan cemerlang.

Saudara Micheal,
.................Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk memberitahu saudara tentang penyakit berjangkit yang sedang melanda negara saya. Penyakit yang saya maksudkan tersebut ialah Selesema Babi atau dikenali juga dengan nama Selesema H1N1. Penyakit ini amat ditakuti oleh orang ramai kerana masih belum ada sebarang vaksin yang ditemui dan mampu mengubatinya. Setakat ini, dalam tempoh sebulan sahaja penyakit tersebut menyerang Malaysia, sudah hampir 200 orang yang telah menjadi mangsa. Namun begitu, sehingga hari ini saya mampu bersyukur kerana belum ada lagi mangsa yang terkorban. Malah negara jiran kami iaitu Singapura dan Thailand turut mencatatkan jumlah mangsa yang lebih besar iaitu melebihi 1000 orang.

.................Untuk pengetahuan saudara, Selesema Babi merupakan penyakit yang berasal dari Maxico di Amerika Selatan. Penyakit tersebut merebak ke negara saya melalui pelancong asing yang datang ke Malaysia dari tempat tersebut. Menurut doktor, mangsa yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami simptom seperti demam biasa. Walau bagaimanapun, demam yang dialami akan berpanjangan diikuti dengan sakit kepala serta sakit di seluruh badan yang keterlaluan. Sekiranya mangsa tidak mendapat rawatan yang sewajarnya, penyakit ini boleh membawa maut. Memandangkan penyakit ini mudah merebak, kerajaan di Malaysia telah mengambil langkah drastik bagi mengekang penyakit tersebut daripada terus menular, bak kata pepatah Melayu “sediakan paying sebelum hujan”.

Saudara Micheal,
..................Antara langkah awal yang telah dilaksanakan adalah dengan mengkuarantinkan orang ramai yang pulang dari luar negara terutamanya dari negara-negara seperti Maxico, Amerika Syarikat, Australia dan Indonesia. Hal ini disebabkan kebanyakan mangsa yang terdapat di Malaysia ialah mereka yang baru balik dari negara tersebut. Pelancong asing dari negara tersebut juga tidak terkecuali menjalani kuarantin dan pemeriksaan doktor sebelum dibenarkan berada di Malaysia. Semua penumpang yang menaiki kapal terbang juga turut dinasihati supaya menjalani pemeriksaan doktor bagi memastikan bahawa mereka bukan pembawa virus ini. Saya berasa tindakan ini agak berkesan dan sesuai sebagai satu cara untuk mengekang penularan viris H1Ni ke Malaysia kerana “mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”.

..................Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia juga turut menutup beberapa buah sekolah apabila mendapati ada beberapa orang pelajar di sekolah berkenaan dijangkiti virus berbahaya ini. Di Kuala Lumpur sahaja, empat buah sekolah telah ditutup selama seminggu bagi tujuan tersebut. Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Jalan Delima, Sekolah Antarabangsa Sri Perdana, Sekolah Menengah Tsun Jin dan Sekolah Menengah Seri Mutiara. Semua warga sekolah termasuk para pelajar dan guru-guru di sekolah berkenaan turut dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus tersebut. Walaupun ada sesetengah pihak menentang usaha murni kerajaan itu, namun langkah ini amat berkesan bagi mengelakkan penularan virus H1N1 daripada terus berlaku.

Sahabatku Micheal,
....................Selain itu, kerajaan Malaysia juga telah mengadakan kempen kesihatan dan penjagaan kebersihan diri. Kempen ini telah disebarluaskan melalui pelbagai media massa seperti surat khabar dan televisyen. Untuk makluman saudara, kempen ini diadakan dengan tujuan menyedarkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan diri agar terhindar daripada virus tersebut. Orang ramai juga dinasihati agar memakai topeng serta membasuh tangan dengan bersih selepas batuk atau bersin. Mereka juga turut disarankan agar tidak berkunjung ke tempat awam sekiranya tidak ada sebarang sebab yang perlu untuk berbuat demikian. Bagi membantu orang ramai mengatasi kebimbangan mereka terhadap virus ini, kerajaan juga telah membekukan cuti kakitangan hospital malah perkhidmatan hospital awam dilanjutkan selama 24 jam sehari. Dengan cara ini, wabak H1N1 dapat dikekang daripada terus merebak.

Saudara Micheal,
....................Memandangkan telah panjang lebar saya menulis dalam warkah saya pada kali ini, saya memohon untuk mengundur diri. Semoga kita dapat bertemu lagi dalam bingkisan yang akan datang. Jangan lupa untuk menyampaikan salam saya kepada keluarga saudara terutamanya kepada adik saudara Micheal J. Kuthupalar. Akhir kata, saya juga memohon kemaafan andainya ada kata-kata saya yang menyinggung hati saudara.
...................Sekian, terima kasih.

Contoh Karangan : Kesihatan Asas Kebahagiaan

“Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak cerdas” sering diungkapkan oleh orang ramai. Oleh itu, kesihatan amat penting kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan sempurna. Kita sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum seperti mengambil pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.

Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari. Justeru, kita harus mengambil makanan daripada semua kelas makanan pada kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid makanan. Antara makanan yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat dan vitamin, bijirin, buah-buahan, hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan protein. Kita harus memastikan bahawa kita hanya mengambil makanan yang berkualiti sahaja.


Selain pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan senaman atau bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja berat. Dengan beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan membolehkannya berfungsi dengan baik. Di samping itu, kita juga dapat membakar lemak yang berlebihan dan mengeluarkan peluh. Aktiviti bersenam juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sukan untuk mencegah seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit jantung, dan tekanan darah tinggi.

Akhirnya, ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai rehat dan tidur yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari. Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil. Orang yang tidak mempunyai rehat yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan dan melaksanakannya dengan baik. Malah mereka mudah berasa letih dan senang jatuh sakit. Oleh yang demikian, masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari diperuntukkan untuk berehat dan tidur amat perlu ditekankan.

Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif. Justeru, setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan kata mencegah lebih baik daripada merawat.

Contoh Karangan : Pencemaran Sungai

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen ”Sayangi Sungai ”dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita.


Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik mereka juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah ‘mati’.

Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran, Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian.

Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis. Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.

Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih.

Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan. Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit.

Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

Contoh Karangan : Peranan Warga Tua

Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran. Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini. Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua. Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita. Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia di sekeliling kita.

Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat. Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat. Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.

Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum. Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya. Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan. Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama.

Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka. Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada kemudian hari. Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak. Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara.

Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah ‘sakit’. Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat digalakkan. Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang. Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara. Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

Contoh Karangan : Kasih Sayang Ibu Bapa Berkesan Mendidik Anak

Wujudkah ibu bapa yang tidak sayangkan anak ? Semestinya, semua ibu bapa sanggup berkorban demi kebahagiaan anak mereka. Tetapi, persoalannya adakah semua ibu bapa hari ini menyayangi anak dengan cara lebih tepat ? Dalam hal ini, ada ibu bapa sekarang melakukan kesilapan. Ada menganggap cara ibu bapa dulu mendidik anak tidak betul dan kolot, lalu terus menolak semua, sedangkan cara dulu tidak semua salah atau tidak sesuai lagi.

Ada pula beranggapan cara didikan ibu bapa dulu adalah betul, lalu terus menggunakan semua, sedangkan mungkin ada antaranya tidak sesuai dengan keadaan sekarang. Manakala, ada pula disebabkan ingin mencari cara kontemporari, lalu dengan mudah mengguna pakai cadangan dikemukakan buku atau penceramah, tanpa melakukan penelitian, tapisan atau kefahaman yang mendalam. Kebanyakan isu keibubapaan timbul dalam konteks hubungannya dengan anak yang berada pada usia remaja. Sesetengah remaja menunjukkan perlakuan sukar difahami dan tidak pernah dibayangkan ibu bapanya. Ada ketikanya remaja memilih pakaian dan muzik pelik, emosi berubah-ubah seperti keras dan pendiam, malah mungkin kurang menghormati ibu bapa. Lazimnya, ibu bapa diingatkan mengenali dan memahami psikologi anak remaja. Ibu bapa diberitahu bahawa remaja berada dalam zaman transisi dan bergelut untuk berpaut pada zaman kanak-kanak yang penuh kegembiraan yang bakal ditinggalkan sambil memasuki alam dewasa yang penuh tanda tanya. Orang tua dimaklumkan bahawa anak remaja sedang berada dalam paradoks. Tetapi, ibu bapa jarang diingatkan untuk mengenali dan memahami paradoks yang sedang berlaku dalam dirinya sendiri. Bahawa mereka sendiri mencari keseimbangan antara memberikan kasih sayang dan menetapkan sesuatu untuk anak remajanya.

Sebenarnya, kasih sayang ibu bapa yang ideal ialah memberikan anak remajanya keseimbangan antara kebebasan dan disiplin. Jika disiplin terlalu banyak dan ketat, remaja akan memberontak. Sebaliknya, jika terlalu banyak kebebasan, remaja dahagakan struktur tertentu dan mencarinya sendiri dengan cara belum tentu baik. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat pelbagai keputusan mengenai anaknya, misalnya, daripada boleh atau tidak menonton televisyen, hinggalah kepada boleh atau tidak mempunyai teman lelaki atau perempuan. Semakin anaknya menginjak dewasa, maka keputusan itu semakin besar dan penting. Ada keputusan perlu dibuat setiap hari dan ada keputusan perlu dibuat pada tempoh tertentu.

Selain perlu mengenali dan memahami anak remajanya, ibu bapa harus mengenali dan memahami dirinya sendiri terlebih dulu. Umumnya, ahli psikologi merumuskan ada dua komponen utama dalam gaya keibubapaan. Yang pertama ialah ‘responsif’, iaitu sebanyak mana kebebasan diberikan, manakala kedua ialah ‘permintaan’, iaitu sebanyak mana disiplin atau hala tuju akan ditentukan. Dengan kata lain, ibu bapa berdepan dengan paradoks: antara kasih sayang dan kepemimpinan. Kasih sayang ialah responsifnya terhadap kehendak anak remajanya, manakala kepemimpinan pula ialah permintaannya terhadap keperluan masa depan anak remajanya. Pertembungan, dinamika dan keseimbangan antara kedua-dua komponen ini dapat menentukan gaya keibubapaan. Kebanyakan pengkaji membahagikan gaya keibubapaan kepada empat kategori, iaitu: autoritarian, autoritatif, permisif dan tidak terbabit. Ibu bapa yang autoritarian rendah responsifnya, tetapi amat tinggi permintaannya. Walaupun mereka pengasih dan penyayang, anak remajanya tidak merasainya. Kebebasan hampir tidak diberikan dan pendapat anak remaja jarang didengar. Sebaliknya, disiplin amat ketat, malahan cita-cita anak remaja ditentukan ibu bapa.

Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritarian berkemungkinan besar berjaya dalam peperiksaan dan kerjayanya, tetapi mungkin memiliki peribadi yang kaku, rendah harga diri dan terlalu bergantung kepada arahan pihak berkuasa. Ibu bapa yang autoritatif pula mempunyai keseimbangan antara responsif dan permintaan. Mereka akrab, komunikatif dan anak remaja digalakkan bersuara. Kasih sayang diberikan, ditunjukkan dan dirasai. Disiplin dan hala tuju ditentukan dan diterangkan rasionalnya. Remaja bebas menentukan cita-cita dengan ibu bapa memberikan panduan dan bimbingan.

Remaja yang dibesarkan dalam suasana autoritatif berkemungkinan besar akan sama kejayaannya, walaupun tidak lebih, dengan dibesarkan dalam suasana autoritarian. Bezanya golongan ini akan memiliki peribadi bersepadu, yakin, berdikari dan kreatif. Ibu bapa permisif mempunyai responsif amat tinggi, tetapi permintaan amat rendah. Mereka banyak bertolak ansur, memberikan kebebasan dan hampir semua kehendak anak remajanya diturutkan. Gaya tidak terbabit pula hampir tiada permintaan, disiplin dan hala tuju, serta hampir memberikan kebebasan penuh. Malahan, ia lebih satu kecuaian keibubapaan.

Namun begitu, gaya keibubapaan boleh dirosakkan dengan amat mudah, sekiranya ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi, ibu bapa perlu tahu cara menangani kemarahannya. Dalam hal ini, ada tiga persoalan penting iaitu: bila marah itu wajar, bila marah tidak diperlukan dan bila marah itu boleh menjadi masalah. Walaupun, mungkin sukar melahirkan seorang kaunselor profesional atau pra kaunselor dalam setiap keluarga, program Satu Keluarga Satu Kaunselor tetap mempunyai potensi untuk melahirkan ibu bapa berilmu, berkemahiran dan seimbang dari segi memberikan kasih sayang dan kepemimpinan.

Contoh Karangan Pelajar : Isu Pengangkutan Awam

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.

Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.
Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.

OLIMPIK BEIJING NATIJAH KERAKUSAN MANUSIA

ETIKA pesawat hampir mendarat di lapangan terbang Beijing, China saya
dapat melihat dengan jelas ruang udara berubah daripada cerah menjadi
kelam. Semakin hampir mendarat semakin ketara bahawa perubahan itu
disebabkan jerebu akibat pencemaran udara yang menyelubungi kota raya
Beijing. Demikian pengalaman saya pada September 2006 ketika menghadiri
Kongres Air Sedunia. Secara kebetulan tapak kongres itu berhampiran
stadium 'sangkar burung' Olimpik. Ketika itu aktiviti pembinaan
berjalan rancak menyebabkan ruang udara bukan saja kelam, bahkan kesan
debu dan bahan yang boleh mewujudkan pencemaran udara dapat dirasakan
ketika bernafas sehingga menjejaskan kesihatan saya sepanjang 10 hari
di Beijing. Pengalaman sedemikian turut dialami ramai peserta kongres
lain. Demikian fenomena ekosistem Beijing sehingga apa saja aktiviti
bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di Beijing sejak beberapa tahun
kebelakangan ini akan dikaitkan dengan risiko kesihatan peserta dan
pengunjung luar negara. Terkini, temasya Sukan Olimpik bermula hari ini
pada tarikh 8.8.08, iaitu satu deretan angka yang diharap membawa tuah
menurut kepercayaan numberologis Cina. Sukan Olimpik Beijing adalah
penganjuran temasya terbesar dalam sejarah moden China pada peringkat
antarabangsa. Itu sebabnya persediaan dan pemaparan imej diberi
keutamaan pemerintah China. Sukan Olimpik bukan saja dijangka dapat
memperagakan kehebatan ahli sukan China malah direncana supaya menjadi
pentas menyaksikan kemajuan negara itu dalam banyak bidang.

Memang dimaklumi bahawa China mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi
konsisten melebihi 10 peratus sejak awal 1990-an. Pertumbuhan
sedemikian pesat juga menunjukkan bahawa China dapat menangani
kepelbagaian isu sosioekonomi dalam kerangka baru dengan mengadunkan
kapitalisme untuk memacu pembangunan ekonomi dengan status quo sistem
politik komunisme. Banyak pihak akur bahawa China berjaya memacu
kemajuan dengan peningkatan menakjubkan. Kadar pembangunan yang dicatat
adalah rekod terpantas setakat ini. Hal ini, menjadikan China pesaing
utama negara maju khususnya dari segi pengeluaran pelbagai produk, di
samping memanfaatkan saiz pasaran dalam negeri melebihi satu bilion
pengguna. Sebagai pesaing, banyak negara maju cuba mencari kelemahan
China untuk sekurang-kurangnya menjustifikasikan bahawa kemajuan China
dicapai dengan mengorbankan ciri, nilai dan piawai sejagat. Dalam hal
ini, ciri paling ketara dianggap kelemahan China ialah pelestarian alam
sekitar. Sejak memenangi hak penganjuran Sukan Olimpik pada 2001, China
merancang sesuatu yang luar biasa dari segi kemudahan sukan,
pelancongan dan kemudahan awam. Malah, sebahagian besar pembangunan
fizikal Beijing dirancang semula untuk memenuhi keperluan penganjuran
Sukan Olimpik.

Ia membabitkan kemudahan pengangkutan, penginapan, perdagangan dan
pelancongan. Malah, masyarakat tempatan turut mendapat pelbagai
kemudahan dan prasarana moden selari dengan imej baru China. Namun,
aspek pelestarian alam sekitar agak ketinggalan. Pencemaran udara dan
sumber air semakin meningkat seiring dengan peningkatan kadar
pertumbuhan ekonomi. Pengurusan sisa juga menjadi kian mencabar.
Sehingga kini, China tidak banyak pilihan kecuali menangani pencemaran
alam sekitar secara reaktif. Menyedari dilema itu, China mengambil
pelbagai langkah mengurangkan impak alam sekitar dengan tegas dan biaya
besar. Strateginya ialah mengurangkan bahan cemar pada peringkat sumber
dan memantapkan ekosistem untuk menyerap muatan pencemaran yang
dibebaskan.
Selain itu, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNEP) juga memberi khidmat kepakaran. Beberapa negara maju turut
'membantu'. Sejak beberapa bulan lalu, kira-kira 100 saintis alam
sekitar dari 20 institusi antarabangsa memantau tahap pencemaran udara
di Beijing dan kawasan sekitarnya. Semua institusi itu – termasuk dari
Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman – menggunakan pelbagai teknologi
canggih, termasuk remote sensing menerusi cerapan satelit. Selain itu,
sampel rawak dipilih di kalangan penduduk Beijing untuk menilai sejauh
mana kesan pencemaran udara dan air terhadap pelbagai inisiatif
dilakukan kerajaan.

Biarpun banyak inisiatif dilakukan, namun jerebu dan pencemaran udara
masih berlaku, terutama ketika cuaca panas dengan kelajuan angin
minimum. Kerajaan China memang peka dengan masalah itu lantas
memperkenalkan pelbagai inisiatif yang sesetengahnya dianggap radikal
seperti penutupan operasi 267 kilang di sekitar Beijing yang dikenal
pasti mencemarkan udara. Selain itu, penggunaan kenderaan persendirian
juga dikurangkan sebanyak sejuta unit sejak minggu ketiga Julai lalu.
Bilangan penutupan kilang dan pengurangan kenderaan di jalan raya
dijangka ditingkatkan jika tahap pencemaran udara masih tidak dapat
dikurangkan. Dari segi peruntukan, sejumlah $17 bilion dolar
dibelanjakan untuk mengawal pencemaran alam sekitar. Hampir 90 peratus
kumbahan dirawat dengan sempurna, keluasan kawasan hijau menjadi 50
peratus dan penggunaan gas asli membekalkan 60 peratus tenaga elektrik
di Beijing. Sementara itu, 50,000 teksi dan 10,000 bas baru digunakan
untuk menggantikan yang sudah uzur supaya pelepasan asap dapat dikawal.
Jaringan kereta api bandar pula ditambah 200 kilometer lagi. Pelaburan
itu tidak termasuk kos melepas menerusi pelbagai inisiatif yang
menjejaskan keuntungan syarikat dan individu menerusi penutupan
sementara kilang, pengurangan kenderaan persendirian di jalan raya dan
sebagainya. Standard pelepasan bahan cemar air dan udara juga
diperketatkan setanding kebanyakan negara Eropah. Ternyata China
memahami bahawa pelestarian alam sekitar bukan lagi suatu trend,
kerenah atau kegilaan rakyat negara maju semata-mata. Pelestarian alam
sekitar penting untuk semua pihak. Tanpa alam sekitar yang bersih,
bebas daripada pencemaran dan seimbang, maka kesihatan dan
kesejahteraan manusia terancam. Pelancong, atlit dan peminat sukan
berasa tidak selamat, malah implikasi ekonomi begitu ketara.

Pengalaman China menganjurkan Sukan Olimpik ini menunjukkan bahawa isu
alam sekitar juga boleh dieksploit sehingga menjejaskan imej dan nama
baik sesebuah negara. Foto atlit memakai topeng muka (mask) ketika
berlatih dibesar-besarkan media antarabangsa seolah-olah tahap
pencemaran udara di Beijing akan menjejaskan prestasi mereka pada
temasya itu sehingga mendapat bantahan Majlis Olimpik Antarabangsa.
Selain itu, penganjuran Sukan Olimpik Beijing juga menunjukkan bahawa
perancangan projek pembangunan – apatah lagi berskala mega – perlu
disepadukan dengan inisiatif pelestarian alam sekitar sejak awal lagi.
Perancangan awal bersifat pencegahan dan jauh lebih murah. Mencegah
juga lebih efektif berbanding mengawal limpahan pencemaran yang terjana
menerusi urbanisasi dan industrialisasi.



Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan
dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia dan Pengurus Air dan Alam
Sekitar bertauliah (CWEM)

penggunaan telefon bimbit: punca dan kesan(karangan berbentuk ceramah)

Penggunaan telefon bimbit di Malaysia begitu meluas, sama ada dalam
kalangan orang dewasa atau remaja sekolah. Anda sebagai pegawai
syarikat telekomunikasi yang ada di Malaysia telah diundang oleh pihak
sekolah untuk menyampaikan ceramah tentang penggunaan telefon bimbit
kepada pelajar sekolah dan ibu bapa.

Sediakan teks ceramah anda.
Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada
Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pengetua yang dihormati, para ibu
bapa, para guru dan pelajar disayangi, Saya pegawai dari syarikat
telekomunikasi yang ada di Malaysia, iaitu Telekom Malaysia(TM) amat
gembira kerana diundang oleh pihak sekolah untuk menyampaikan ceramah
tentang penggunaan telefon bimbit.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Telefon berasal daripada bahasa Greek (tele = jauh dan
phone = suara) dan merupakan alat telekomunikasi yang digunakan bagi
memancar dan menerima bunyi pada jarak jauh tanpa terikat dan secara
bebas. Kejayaan Alexander Graham Bell mencipta telefon pada tahun 1876,
telah membolehkan masyarakat seluruh dunia berhubung antara satu dengan
lain walaupun berjauhan. Namun demikian, teknologi telekomunikasi masih
mengalami perubahan mendadak dan berkembang dengan pesat, inovasinya
dibaharui oleh generasi kemudian sehingga membolehkan manusia di bumi
berhubung dengan manusia lain tanpa bantuan kabel melalui telefon
bimbit. Bagi ramai orang, telefon bimbit ialah keperluan paling utama.
Alat ini akan dibawa ke mana-mana sahaja di dalam saku, sama ada satu
atau dua unit supaya mudah berhubung. Banyak syarikat yang telah
ditubuhkan untuk menawarkan perkhidmatan talian telefon di Malaysia.
Antaranya ialah DIGI, CELCOM, MAXIS dan TELEKOM (yang baru menukarkan
nama syarikat ke TM).

Hadirin yang budiman,

Dunia sedang mengalami peningkatan dalam penggunaan
telefon bimbit. Mengikut syarikat penyelidik ABI Research Mobile
Devices Research Service, sejumlah 900 juta telefon bimbit telah
dipasarkan pada 2006. Telefon bimbit digunakan secara meluas di seluruh
dunia sehingga kanak-kanak kurang daripada 8 tahun juga memiliki sebuah
telefon bimbit. Antara sebab telefon bimbit digunakan secara meluas dan
mudah didapati ialah harga telefon bimbit di pasaran yang berpatutan.
Kini, telefon bimbit mampu dimiliki oleh pelbagai golongan tidak kira
sama ada mereka merupakan golongan kaya atau miskin. Telefon bimbit
boleh didapati dengan harga RM80 sehingga beribu-ribu. Telefon terpakai
juga dijual pada harga yang sangat murah. Harga telefon bimbit
bergantung kepada bilangan fungsi dan kecantikannya. Pelbagai bentuk
dan model yang boleh dipilih mengikut cita rasa pengguna. Terdapat
beberapa jenama telefon bimbit yang boleh dipilih, iaitu Sony Ericsson,
Nokia, Samsung, Motorola, LG, Apple, BenQ, O2, Anycall dan banyak lagi
jenama baru yang baru dicipta. Setiap jenama mempunyai keistimewaan
tersendiri, corak telefon bimbit yang unik dan fungsi yang berlainan.

Hadirin yang dimuliakan,

Pelbagai syarikat telekomunikasi yang menawarkan
khidmat liputan turut mendorong ramai orang untuk mendapatkan telefon
bimbit. Syarikat-syarikat telekomunikasi swasta yang menawarkan khidmat
liputan bersaing untuk mendapatkan sambutan baik dan menawarkan
pelbagai pakej yang murah kepada pelbagai golongan. Contoh pakej adalah
seperti DIGI D’ Campus yang ditawarkan oleh DIGI sekarang kepada
pelajar universiti. Pakej tersebut membolehkan pengguna membuat
panggilan percuma selepas penggunaan sebanyak RM1 harian semasa membuat
panggilan. Selain itu, pakej itu membolehkan pengguna melayari internet
menerusi telefon bimbit secara percuma. Menerusi pakej-pakej seperti
ini pengguna boleh menjimatkan wang dan membuat panggilan dengan
kerap. Selain itu, liputan yang ditawarkan meliputi kawasan yang luas
sama ada di bandar atau di luar bandar. Syarikat telekomunikasi CELCOM
mempunyai liputan yang sangat luas sehingga pengguna boleh membuat
panggilan dari tempat yang terpencil. Perkhidmatan ini memudahkan
perhubungan di tempat terpencil terutamanya tempat yang belum mempunyai
talian telefon tetap.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Telefon bimbit membawa banyak perubahan dalam kehidupan
seharian kita. Telefon menambahkan kecekapan sistem perhubungan. Saiz
telefon bimbit yang kecil membolehkannya dibawa ke mana-mana sahaja.
Oleh itu setiap pengguna telefon bimbit boleh dihubung dengan mudah dan
cepat. Perkongsian informasi dan gambar boleh di buat juga dengan mudah
sekali melalui ***S dan MMS. Sistem perhubungan ini dapat dikendalikan
dengan mudah dan cepat, penting untuk ahli peniaga dan professional
seperti doktor dan CEO syarikat besar yang perlu dihubungi apabila
kecemasan berlaku dan perkhidmatan mereka diperlukan. Di tempat-tempat
yang tidak mempunyai talian telefom tetap, telefon bimbit merupakan
cara perhubungan yang terutama untuk menhubungi dunia luar. Para ibu
bapa turut boleh mudah mencari anak mereka yang selalu keluar dari
rumah ke bandar. Apabila kecemasan berlaku dan tiada telefon awam
didapati, telefon bimbit boleh menyelamatkan nyawa dengan kemudahan
membuat panggilan kecemasannya.



Para hadirin yang dikasihi,

Walaupun telefon bimbit membawa banyak kebaikan ke
dalam hidup kita, tetapi terdapat juga kesan negatif dalam pengunaan
telefon bimbit. Menurut laporan dalam Berita Harian 16/10/2004, di
Stockholm, Laporan kajian yang disiarkan oleh jurnal antarabangsa,
Epidemiology, mereka yang menggunakan telefon bimbit sekurang-kurangnya
sejak 10 tahun lalu mungkin mengalami risiko mendapati ketumbuhan otak
yang unik. Banyak eksperimen juga dibuat yang menunjukkan radiasi
antara dua buah telefon bimbit di kedua-dua belah sebiji telur boleh
memasak telur tersebut. Terdapat juga kes lain yang hampir sama. Dua
kajian terbaru di London mendapati semakin ramai orang yang ketagihan
telefon bimbit sehingga menyebabkan mereka menjadi lebih tertekan dan
mudah marah. Kajian pakar psikologi Britain itu mendakwa mereka yang
tidak mempunyai telefon bimbit atau enggan menggunakan lagi alat itu
sebaliknya mencatat paras tekanan darah rendah, laporan Perbadanan
Penyiaran Britain (BBC) semalam. Telefon bimbit yang menggunakan
antena dalaman menghasilkan kadar radiasi yang tinggi. Radiasi tersebut
merosakkan DNA, menjejaskan fungsi sel dan aktiviti asas otak. Didapati
kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun yang menggunakan telefon
bimbit secara berlebihan akan mengalami masalah ketumbuhan pada
telinga dan otak.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Terdapat pelbagai punca penggunaan meluas telefon
bimbit. Terdapat juga pelbagai kesan postif dan negatif dalam isu
penggunaan telefon bimbit. Pelbagai cara keselamatan boleh diamalkan
seperti tidak membuat panggilan yang panjang dan tidak meletakkan
telefon bimbit di dalam kocek untuk mengelakkan radiasi daripada
telefon bimbit untuk memberi kesan negatif kepada kesihatan tubuh
badan. Kita tidak dapat menolak perkembangan teknologi yang canggih dan
teknologi maklumat dengan menghentikan penggunaan telefom bimbit hanya
kerana kesan negatifnya. Pengguna sendiri haruslah bijak menggunakan
dan mengendalikannya.

Sekian terima kasih.

Contoh Karangan Ceramah : Isu Teknologi Maklumat

Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.

Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.

Hadirin yang budiman,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di suratkhabar yang mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui emel! Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Hadirin yang dimuliakan,
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-negara maju yang lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.

Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.

MANFAAT KEMUDAHAN INTERNET DI RUMAH

Saban hari penggunaan internet semakin gemari oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita. Tahukan anda bahawa penggunaan internet di negara kita ibarat cendawan tumbuh selepas hujan (UM) kerana pertambahan penggunaannya amat ketara sama ada di kawasan bandar mahu pun di kawasan luar bandar. Penggunaan internet juga bertambah dalam kalangan rakyat di negara kita disebabkan wujudnya rangkaian jaringan sosial seperti Facebook, Friendster, My Space dan Tagged dalam internet yang semakin meluas. Bahkan, negara kita tersenarai dalam sepuluh negara yang paling banyak menggunakan jaringan sosial iaitu Facebook. Sedar atau tidak, penggunaan internet juga telah sampai di segenap desa apatah lagi selepas wujudnya teknologi ‘3G’. Apa yang pasti, kajian telah menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh buah rumah di negara kita menggunakan kemudahan internet untuk pelbagai tujuan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada kemudahan penggunaan internet di rumah sekaligus mengubah ajakan paradigma masyarakat dalam era teknologi maklumat kini.

Salah satu daripada manfaat penggunaan internet di rumah ialah dapat mencari dan mengumpul maklumat dalam masa yang singkat. (Ayat isi) Hal ini kerana dalam era globalisasi ini segala maklumat sama ada formal atau tidak formal telah dimuat naik dalam rangkaian internet oleh pelbagai pihak dengan cepat sehingga mengalahkan media cetak seperti surat khabar. (Ayat huraian) Dalam soal ini, pengguna hanya perlu menaip sahaja maklumat yang dikehendaki dalam carian enjin google atau yahoo dan segala maklumat yang diperlukan akan tertera di skrin komputer. (Ayat huraian) Malah, setiap maklumat yang kita dapat peroleh dapat dinilai dan dibandingkan sumber mana yang lebih tepat. (Ayat huraian) Sebagai contoh, jika kita ingin mencari maklumat berkenaan berita terkini di akhbar, kita akan memperoleh banyak maklumat kerana hampir semua akhbar telah dibuka atas talian seperti Utusan Malaysia Online, Berita Harian Online, Malaysia Kini dan News Strait Times.(Ayat contoh) Perkara ini secara tidak langsung memudahkan kita mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber. (Ayat huraian) Oleh itu, kita dapat mencari maklumat di rumah dengan mudah sahaja apabila adanya kemudahan internet. (Ayat penutup)

Selain itu, kita juga dapat menyelesaikan pelbagai bil dan urusan perbankan melalui kemudahan internet di rumah (Ayat isi). Kini, kehidupan masyarakat kita di bandar sangat sibuk dek tekanan tempat kerja dan kesesakan lalu lintas sebelum serta selepas pulang dari pejabat. (Ayat huraian) Jadi, kesuntukan masa yang dialami ini amat menyusahkan apabila mereka hendak menguruskan hal-hal berkaitan rumah tangga dan pembayaran pelbagai bil. (Ayat huraian). Melalui penggunaan internet di rumah, kita dapat menyelesaikan pelbagai bayaran bil dan urusan perbankan sambil minum kopi dan berbual bersama-sama ahli keluarga di rumah. (Ayat huraian)Perkara ini dapat dibuktikan apabila banyak bank seperti Maybank, CIMB Bank, Agro Bank dan RHB Bank menyediakan perniagaan secara ‘online’ di internet kepada para pelanggan untuk memindahkan wang ke dalam akaun lain dan menyimpan wang secara ‘online’, begitu juga dengan pembayaran bil kad kredit. (Ayat Contoh)Pembayaran bil elektrik, bil air dan bil telefon juga dapat dibayar dengan penggunaan internet di rumah melalui laman web kerajaan iaitu myeg.com. (Ayat contoh). Pendek kata, kita dapat menguruskan pembayaran bil dan urusan perbankan di rumah melalui internet sekaligus menjimatkan masa kerana masa itu emas.(UM) (Ayat penutup)

Di samping itu, manfaat penggunaan internet di rumah dapat memudahkan kita berkomunikasi di antara jarak jauh dan dekat malah merentasi lautan seantero dunia.(Ayat isi). Hal ini kerana terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di internet untuk tujuan komunikasi. (Ayat huraian) Malah, syarikat gergasi telekomunikasi berlumba-lumba membuka laman web mereka untuk memudahkan pengguna berkomunikasi di internet. (Ayat huraian) Berkomunikasi di internet bukan sahaja melibatkan suara orang yang dihubungi malah kita dapat bersua muka dan melihat wajah kenalan atau individu yang baru kita kenali dengan hanya duduk di kerusi dan mengadap komputer serta tangan bermain dengan tetikus melalui beberapa klik. (Ayat huraian). Perkara ini amat memberi kebaikan kepada ahli keluarga yang jauh meninggalkan keluarga untuk bekerja dan belajar di luar negara seperti di Asia Barat dan Eropah. (Ayat huraian) Mereka hanya perlu mengakses aplikasi ‘yahoo mesengger’ untuk berkomunikasi bagi melihat wajah dan mendengar suara ahli keluarga yang jauh bagi melepaskan kerinduan. (Ayat contoh) Ringkasnya, penggunaan internet di rumah bermanfaat untuk berkomunikasi jarak jauh. (Ayat penutup)

Kesimpulannya, penggunaan internet di rumah mendatangkan pelbagai manfaat berguna kepada masyarakat. Oleh itu, masyarakat di negara kita perlu memanfaatkan penggunaan internet di rumah kerana melalui penggunaan internet segala maklumat berada di hujung jari anda.(UM) Apa yang pasti, internet mampu memberikan seribu satu macam kemudahan kepada pengguna jika digunakan sebaiknya. Dalam era serba moden ini, penggunaan internet seakan tidak dapat dipisahkan lagi dengan kemajuan negara sekarang. Jadi, pihak kerajaan perlu mendidik masyarakat menggunakan internet bagi melahirkan generasi celik IT sekaligus setanding dengan masyarakat negara maju lain seperti Jepun demi mencapai wawasan 2020. Selain itu, ibu bapa juga tidak ketinggalan perlu mendidik anak-anak mempelajari internet di rumah kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. (UM) Akhirul kalam, tidak dapat dinafikan bahawa kemudahan internet di rumah memberi pelbagai faedah kepada kita.

[500 patah perkataan]

Contoh Karangan Rencana


Soalan 3.

Memandangkan jumlah rakyat Malaysia yang merokok terus meningkat dari semasa ke semasa, anda telah diminta untuk menulis sebuah rencana yang bertajuk “Kesan-kesan tabiat merokok dan langkah-langkah untuk menanganinya”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

KARANGAN RENCANA

“Kesan-kesan Tabiat Merokok dan Langkah-langkah Untuk Menanganinya”

Oleh : Lim Teng Peng

Kempen ‘Tak Nak’ Merokok acap kali menjadi polemik di media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik. Namun, apa yang menyedihkan, semakin banyak kempen diadakan semakin ramai pula para remaja terlibat dalam gejala merokok. Umum tahu bahawa di sebelah kotak rokok sudah dijelaskan secara terang-terangan bahawa bahaya merokok tetapi perkara tersebut dipandang sebelah mata sahaja oleh para perokok. Malah, gambar penyakit akibat merokok yang tertera di kotak rokok juga tidak diendahkan sama sekali. Sememangnya, gejala merokok tiada satupun kebaikan malah 100% mempunyai kesan negatif yang memudaratkan penagihnya. Jadi, semua pihak perlu mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi menangani masalah ini daripada menjadi duri dalam daging sepanjang masa.

‘Merokok membahayakan kesihatan’ itulah slogan yang sering kita dengar akan bahana daripada perbuatan menghisap rokok. Perkara ini terjadi kerana bahan yang digunakan untuk membuat rokok terdiri daripada pelbagai bahan kimia seperti racun tikus, tar, nikotin, tembakau, dan sebagainya. Apabila manusia merokok, segala bahan kimia yang terdapat di dalam rokok akan bertindak balas dengan tubuh badan manusia yang terdiri daripada organ-organ yang amat penting. Sebagai contoh, anggota mula-mula yang bertindak balas dengan rokok ialah mulut. Kesan bahan kimia kepada mulut sahaja boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti gigi menjadi kuning, bibir menjadi biru dan kanser mulut. Penyakit lain seperti asma, sakit jantung, barah otak, angin ahmar dan migrain antara penyakit yang dibuktikan akibat gejala merokok. Jadi, merokok secara jelasnya menyebabkan kesihatan manusia terjejas.

Selain itu, gejala merokok juga menyebabkan pembaziran wang yang keterlaluan berlaku dalam kalangan perokok. Hal ini kerana, setiap tahun pihak kerajaan akan sentiasa menaikkan harga rokok melalui belanjawan yang dibentangkan di parlimen. Walau bagaimana, para perokok tidak mempedulikan harga rokok meningkat mahal kerana mereka telah ketagih. Tidak dapat tidak, mereka akan mengusahakannya bagi mendapatkan rokok. Misalnya, bagi golongan perokok yang sudah berkeluarga sudah pastinya mereka tetap merokok walaupun menjejaskan perbelanjaan isi rumah. Begitu juga pelajar sekolah, mereka sanggup mengikat perut semata-mata ingin menyedut asap yang berpenyakit itu. Dalam agama Islam sudah diterangkan bahawa membazir adalah amalan syaitan tetapi masyarakat tidak mengendahkannya seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Pendek kata, menghisap rokok merupakan perkara yang nyata membazir dan merugikan wang.

Sedar atau tidak, kesan perbuatan merokok juga bukan sahaja kepada individu yang merokok malah tempiasnya turut terkena kepada individu yang tidak merokok di sekeliling mereka. Hal ini kerana asap rokok yang dilepaskan di udara akan dihidu oleh orang yang berada di sekeliling perokok. Asap yang dihidu juga membawa bahan kimia memberi kesan kepada kesihatan orang lain. Buktinya dalam sesebuah keluarga, jika seorang bapa merokok maka si ibu dan anak-anak berkemungkinan besar mendapat penyakit seperti batuk dan asma kerana berada dalam lingkungan si bapa yang merokok. Kajian juga memperlihat bahawa perokok pasif iaitu orang yang tidak merokok berisiko mendapat penyakit daripada asap rokok lebih tinggi daripada perokok. Teguran kepada para perokok supaya berhenti merokok seperti ‘mencurahkan air ke daun keladi’ walhal perbuatan mereka nyata menyusahkan orang ramai.

“Setiap penyakit pasti ada ubatnya”. Oleh itu, untuk mencegah tabiat merokok daripada menular pasti ada caranya. Antaranya ialah pihak kerajaan seharusnya mengubal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan rokok. Hal ini penting bagi mengekang para remaja dan orang dewasa merokok. Pihak kerajaan patut menggubal undang-undang baru dan menubuhkan badan khas bagi menjalankan tugas menguatkuasa untuk mengurangkan masalah ini. Sebagai contoh, pihak kerajaan wajar mengenakan hukuman penjara kepada mana-mana pemilik kedai yang menjual rokok kepada remaja yang berumur 18 ke bawah bukan setakat denda wang ringgit sahaja melalui kerjasama semua pihak. Selain itu, undang-undang lebih tegas juga dikenakan kepada golongan dewasa yang merokok di tempat awam seperti bayaran kompaun yang lebih tinggi dan perlu dibayar serta merta melalui badan penguatkuasa yang ditubuhkan. Dengan penguatkuasaan yang lebih tegas mampu meredakan keegoan perokok sekaligus menakutkan perokok-perokok dan secara tidak langsung mereka berfikir bahana merokok.

Langkah lain yang lebih efisien dalam menangani masalah tabiat merokok ialah dengan mengadakan kempen secara berterusan terutamanya pada peringkat institusi pendidikan. Hal ini kerana melalui kempen di sekolah dan instituti pengajian tinggi dilihat mampu memberi maklumat secara berterusan kepada pelajar dan masyarakat. Di sekolah misalnya, penerapan kempen bahana merokok bukan sahaja dapat diadakan kempen secara formal tetapi juga melalui kempen tersembunyi yang wajib diselitkan dalam kurikulum bilik darjah oleh guru. Perkara ini amat penting kerana dilihat mampu mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan pelajar dan masyarakat melalui pengajaran yang bermotivasi. Sebagai contoh, kempen tersembunyi dalam bilik darjah dapat diterapkan dalam mata pelajaran Sains. Dalam mata pelajaran Sains, pelbagai kesan merokok dapat diketahui oleh pelajar berserta dengan bukti yang kukuh dan maklumat yang diperolehi melalui pengajaran guru. Jadi, secara khususnya, dapatlah dikatakan bahawa kempen secara berterusan merupakan cara berkesan yang patut diteruskan dalam mengurangkan jumlah perokok sedikit demi sedikit di negara kita.

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa tabiat merokok merupakan penyakit yang agak sukar untuk diselesaikan secara mendadak oleh semua pihak di negara kita. Walau bagaimanapun, perkara ini bukan mustahil untuk diselesaikan seperti yang kita tahu ada satu perpatah mengatakan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain iaitu setiap langkah penyelesaian pasti ada kesudahannya. Oleh itu, usaha menangani tabiat merokok sudah pastinya memerlukan komitmen daripada semua pihak bermula daripada institusi keluarga lagi melalui didikan ibu bapa terhadap anak-anak dan seterusnya pada peringkat yang lebih tinggi. Apa yang pasti, melalui kerjasama dan kesedaran semua pihak maka masalah ini dapat dilenyapkan secara evolusi sekaligus menjadikan masyarakat kita bebas daripada tabiat merokok. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Tegasnya, bersatulah kita dalam menangani masalah rokok bersama-sama.

Keburukan Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Marcapada ini, telefon bimbit menjadi satu daripada alat komunikasi yang menguasai dunia tanpa memilih usia, status dan kedudukan ekonomi seseorang. Tidak hairanlah telefon bimbit menjadi medium penting untuk masyarakat berinteraksi dalam dan luar negara. Namun begitu, penggunaan telefon bimbit mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap pengguna, khususnya pelajar sekolah. Dalam kalangan pelajar sekolah hari ini, telefon bimbit sinonim dengan mereka. Malah, ada ibu bapa yang berkemampuan menyediakan telefon bimbit untuk kegunaan anak-anak.

Malangnya, ada pelajar yang menyalahgunakan teknologi ini demi keseronokan dan kepuasan jiwa. Mereka gemar berbual dengan rakan sebaya sehingga lewat malam. Ini menyebabkan masa untuk mengulangkaji pelajaran terbuang begitu sahaja. Apabila lewat tidur, tentulah masa tidur tidak mencukupi. Ini pasti menjejaskan prestasi mereka semasa di dalam kelas. Akibatnya, mereka tidak mampu memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar.

Lebih membimbangkan, telefon bimbit menjadi alat menyebarkan bahan lucah. Dengan kemampuan telefon bimbit menghantar dan menerima mesej SMS dan MMS, segelintir pelajar sanggup merakam dan memuat turun klip video, menyimpan dan mengedarkan foto lucah dan seumpamanya. Menurut statistik PDRM, jenayah rogol dan cabul meningkat akibat salah guna telefon bimbit. Lebih buruk lagi, remaja sekolah mudah terdorong dengan ‘cinta monyet’ yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri mereka, terutama bagi remaja perempuan. Sesetengah mesej lucah yang disebarkan boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang remaja. Ia juga menggalakkan pergaulan yang tidak sihat seperti hubungan seks bebas dan perzinaan. Inilah punca yang mengakibatkan kes pembuangan bayi persis zaman Jahiliah di Tanah Arab dahulu.

Selain itu, telefon bimbit turut mendatangkan masalah terhadap keputusan akademik pelajar kerana mereka teruja untuk menggunakan perkakasan tersebut berbanding mentelaah buku pelajaran. Sikap suka bertangguh akan mula bertapak di dalam jiwa kerana terlalu obses dengan telefon bimbit. Ini sekaligus menyebabkan prestasi mereka merudum, apatah lagi jika mereka diberi ruang menggunakannya pada usia yang masih belasan tahun.

Penggunaan telefon bimbit juga menyebabkan masalah kewangan. Ada pelajar sekolah yang sanggup mengikat perut semata-mata untuk memastikan telefon mereka mempunyai baki kredit prabayar. Selain itu, ada pelajar yang sanggup berbohong terhadap ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan duit poket yang lebih. Secara purata, seorang pelajar sekolah memerlukan antara RM20 hingga RM30 sebulan untuk membiayai nilai tambah kad prabayar mereka. Ini tentulah dianggap suatu pembaziran kerana pesanan SMS dan perbualan berkenaan tidak penting dan hanya celoteh kosong sahaja.

Ada segelintir pelajar menganggap telefon bimbit lambang kekayaan. Bagi sesetengah ibu bapa yang berkemampuan, mereka membeli telefon bimbit yang canggih kepada anak-anak. Sikap suka menunjuk-nunjuk dan menayangkan kepada rakan-rakan sebaya membuka ruang kepada persaingan yang tidak sihat. Alangkah baiknya jika wang menukar beli telefon tersebut digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.

Telefon bimbit juga menyebabkan segelintir pelajar menipu dengan membuat panggilan palsu kepada agensi tertentu. Antaranya, nombor talian 999 untuk kecemasan sering disalahgunakan demi keseronokan yang menyusahkan pihak lain. Mereka harus sedar bahawa penggunaan telefon bimbit yang berterusan dalam tempoh yang lama juga, boleh mendatangkan kesan kepada otak seperti peningkatan sel-sel barah.

Konklusinya, teknologi komunikasi seperti telefon bimbit bergantung kepada niat penggunanya. Sebagai pelajar, kita harus bijak menggunakan peranti teknologi maklumat ini dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan yang sia-sia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails