Keburukan Penggunaan Telefon Bimbit Dalam Kalangan Pelajar Sekolah

Marcapada ini, telefon bimbit menjadi satu daripada alat komunikasi yang menguasai dunia tanpa memilih usia, status dan kedudukan ekonomi seseorang. Tidak hairanlah telefon bimbit menjadi medium penting untuk masyarakat berinteraksi dalam dan luar negara. Namun begitu, penggunaan telefon bimbit mendatangkan pelbagai kesan buruk terhadap pengguna, khususnya pelajar sekolah. Dalam kalangan pelajar sekolah hari ini, telefon bimbit sinonim dengan mereka. Malah, ada ibu bapa yang berkemampuan menyediakan telefon bimbit untuk kegunaan anak-anak.

Malangnya, ada pelajar yang menyalahgunakan teknologi ini demi keseronokan dan kepuasan jiwa. Mereka gemar berbual dengan rakan sebaya sehingga lewat malam. Ini menyebabkan masa untuk mengulangkaji pelajaran terbuang begitu sahaja. Apabila lewat tidur, tentulah masa tidur tidak mencukupi. Ini pasti menjejaskan prestasi mereka semasa di dalam kelas. Akibatnya, mereka tidak mampu memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar.

Lebih membimbangkan, telefon bimbit menjadi alat menyebarkan bahan lucah. Dengan kemampuan telefon bimbit menghantar dan menerima mesej SMS dan MMS, segelintir pelajar sanggup merakam dan memuat turun klip video, menyimpan dan mengedarkan foto lucah dan seumpamanya. Menurut statistik PDRM, jenayah rogol dan cabul meningkat akibat salah guna telefon bimbit. Lebih buruk lagi, remaja sekolah mudah terdorong dengan ‘cinta monyet’ yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri mereka, terutama bagi remaja perempuan. Sesetengah mesej lucah yang disebarkan boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang remaja. Ia juga menggalakkan pergaulan yang tidak sihat seperti hubungan seks bebas dan perzinaan. Inilah punca yang mengakibatkan kes pembuangan bayi persis zaman Jahiliah di Tanah Arab dahulu.

Selain itu, telefon bimbit turut mendatangkan masalah terhadap keputusan akademik pelajar kerana mereka teruja untuk menggunakan perkakasan tersebut berbanding mentelaah buku pelajaran. Sikap suka bertangguh akan mula bertapak di dalam jiwa kerana terlalu obses dengan telefon bimbit. Ini sekaligus menyebabkan prestasi mereka merudum, apatah lagi jika mereka diberi ruang menggunakannya pada usia yang masih belasan tahun.

Penggunaan telefon bimbit juga menyebabkan masalah kewangan. Ada pelajar sekolah yang sanggup mengikat perut semata-mata untuk memastikan telefon mereka mempunyai baki kredit prabayar. Selain itu, ada pelajar yang sanggup berbohong terhadap ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan duit poket yang lebih. Secara purata, seorang pelajar sekolah memerlukan antara RM20 hingga RM30 sebulan untuk membiayai nilai tambah kad prabayar mereka. Ini tentulah dianggap suatu pembaziran kerana pesanan SMS dan perbualan berkenaan tidak penting dan hanya celoteh kosong sahaja.

Ada segelintir pelajar menganggap telefon bimbit lambang kekayaan. Bagi sesetengah ibu bapa yang berkemampuan, mereka membeli telefon bimbit yang canggih kepada anak-anak. Sikap suka menunjuk-nunjuk dan menayangkan kepada rakan-rakan sebaya membuka ruang kepada persaingan yang tidak sihat. Alangkah baiknya jika wang menukar beli telefon tersebut digunakan untuk tujuan lain yang lebih berfaedah.

Telefon bimbit juga menyebabkan segelintir pelajar menipu dengan membuat panggilan palsu kepada agensi tertentu. Antaranya, nombor talian 999 untuk kecemasan sering disalahgunakan demi keseronokan yang menyusahkan pihak lain. Mereka harus sedar bahawa penggunaan telefon bimbit yang berterusan dalam tempoh yang lama juga, boleh mendatangkan kesan kepada otak seperti peningkatan sel-sel barah.

Konklusinya, teknologi komunikasi seperti telefon bimbit bergantung kepada niat penggunanya. Sebagai pelajar, kita harus bijak menggunakan peranti teknologi maklumat ini dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan yang sia-sia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails