Contoh Karangan Rencana


Soalan 3.

Memandangkan jumlah rakyat Malaysia yang merokok terus meningkat dari semasa ke semasa, anda telah diminta untuk menulis sebuah rencana yang bertajuk “Kesan-kesan tabiat merokok dan langkah-langkah untuk menanganinya”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

KARANGAN RENCANA

“Kesan-kesan Tabiat Merokok dan Langkah-langkah Untuk Menanganinya”

Oleh : Lim Teng Peng

Kempen ‘Tak Nak’ Merokok acap kali menjadi polemik di media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik. Namun, apa yang menyedihkan, semakin banyak kempen diadakan semakin ramai pula para remaja terlibat dalam gejala merokok. Umum tahu bahawa di sebelah kotak rokok sudah dijelaskan secara terang-terangan bahawa bahaya merokok tetapi perkara tersebut dipandang sebelah mata sahaja oleh para perokok. Malah, gambar penyakit akibat merokok yang tertera di kotak rokok juga tidak diendahkan sama sekali. Sememangnya, gejala merokok tiada satupun kebaikan malah 100% mempunyai kesan negatif yang memudaratkan penagihnya. Jadi, semua pihak perlu mengambil pelbagai langkah yang proaktif bagi menangani masalah ini daripada menjadi duri dalam daging sepanjang masa.

‘Merokok membahayakan kesihatan’ itulah slogan yang sering kita dengar akan bahana daripada perbuatan menghisap rokok. Perkara ini terjadi kerana bahan yang digunakan untuk membuat rokok terdiri daripada pelbagai bahan kimia seperti racun tikus, tar, nikotin, tembakau, dan sebagainya. Apabila manusia merokok, segala bahan kimia yang terdapat di dalam rokok akan bertindak balas dengan tubuh badan manusia yang terdiri daripada organ-organ yang amat penting. Sebagai contoh, anggota mula-mula yang bertindak balas dengan rokok ialah mulut. Kesan bahan kimia kepada mulut sahaja boleh mengakibatkan pelbagai penyakit seperti gigi menjadi kuning, bibir menjadi biru dan kanser mulut. Penyakit lain seperti asma, sakit jantung, barah otak, angin ahmar dan migrain antara penyakit yang dibuktikan akibat gejala merokok. Jadi, merokok secara jelasnya menyebabkan kesihatan manusia terjejas.

Selain itu, gejala merokok juga menyebabkan pembaziran wang yang keterlaluan berlaku dalam kalangan perokok. Hal ini kerana, setiap tahun pihak kerajaan akan sentiasa menaikkan harga rokok melalui belanjawan yang dibentangkan di parlimen. Walau bagaimana, para perokok tidak mempedulikan harga rokok meningkat mahal kerana mereka telah ketagih. Tidak dapat tidak, mereka akan mengusahakannya bagi mendapatkan rokok. Misalnya, bagi golongan perokok yang sudah berkeluarga sudah pastinya mereka tetap merokok walaupun menjejaskan perbelanjaan isi rumah. Begitu juga pelajar sekolah, mereka sanggup mengikat perut semata-mata ingin menyedut asap yang berpenyakit itu. Dalam agama Islam sudah diterangkan bahawa membazir adalah amalan syaitan tetapi masyarakat tidak mengendahkannya seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Pendek kata, menghisap rokok merupakan perkara yang nyata membazir dan merugikan wang.

Sedar atau tidak, kesan perbuatan merokok juga bukan sahaja kepada individu yang merokok malah tempiasnya turut terkena kepada individu yang tidak merokok di sekeliling mereka. Hal ini kerana asap rokok yang dilepaskan di udara akan dihidu oleh orang yang berada di sekeliling perokok. Asap yang dihidu juga membawa bahan kimia memberi kesan kepada kesihatan orang lain. Buktinya dalam sesebuah keluarga, jika seorang bapa merokok maka si ibu dan anak-anak berkemungkinan besar mendapat penyakit seperti batuk dan asma kerana berada dalam lingkungan si bapa yang merokok. Kajian juga memperlihat bahawa perokok pasif iaitu orang yang tidak merokok berisiko mendapat penyakit daripada asap rokok lebih tinggi daripada perokok. Teguran kepada para perokok supaya berhenti merokok seperti ‘mencurahkan air ke daun keladi’ walhal perbuatan mereka nyata menyusahkan orang ramai.

“Setiap penyakit pasti ada ubatnya”. Oleh itu, untuk mencegah tabiat merokok daripada menular pasti ada caranya. Antaranya ialah pihak kerajaan seharusnya mengubal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan rokok. Hal ini penting bagi mengekang para remaja dan orang dewasa merokok. Pihak kerajaan patut menggubal undang-undang baru dan menubuhkan badan khas bagi menjalankan tugas menguatkuasa untuk mengurangkan masalah ini. Sebagai contoh, pihak kerajaan wajar mengenakan hukuman penjara kepada mana-mana pemilik kedai yang menjual rokok kepada remaja yang berumur 18 ke bawah bukan setakat denda wang ringgit sahaja melalui kerjasama semua pihak. Selain itu, undang-undang lebih tegas juga dikenakan kepada golongan dewasa yang merokok di tempat awam seperti bayaran kompaun yang lebih tinggi dan perlu dibayar serta merta melalui badan penguatkuasa yang ditubuhkan. Dengan penguatkuasaan yang lebih tegas mampu meredakan keegoan perokok sekaligus menakutkan perokok-perokok dan secara tidak langsung mereka berfikir bahana merokok.

Langkah lain yang lebih efisien dalam menangani masalah tabiat merokok ialah dengan mengadakan kempen secara berterusan terutamanya pada peringkat institusi pendidikan. Hal ini kerana melalui kempen di sekolah dan instituti pengajian tinggi dilihat mampu memberi maklumat secara berterusan kepada pelajar dan masyarakat. Di sekolah misalnya, penerapan kempen bahana merokok bukan sahaja dapat diadakan kempen secara formal tetapi juga melalui kempen tersembunyi yang wajib diselitkan dalam kurikulum bilik darjah oleh guru. Perkara ini amat penting kerana dilihat mampu mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan pelajar dan masyarakat melalui pengajaran yang bermotivasi. Sebagai contoh, kempen tersembunyi dalam bilik darjah dapat diterapkan dalam mata pelajaran Sains. Dalam mata pelajaran Sains, pelbagai kesan merokok dapat diketahui oleh pelajar berserta dengan bukti yang kukuh dan maklumat yang diperolehi melalui pengajaran guru. Jadi, secara khususnya, dapatlah dikatakan bahawa kempen secara berterusan merupakan cara berkesan yang patut diteruskan dalam mengurangkan jumlah perokok sedikit demi sedikit di negara kita.

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa tabiat merokok merupakan penyakit yang agak sukar untuk diselesaikan secara mendadak oleh semua pihak di negara kita. Walau bagaimanapun, perkara ini bukan mustahil untuk diselesaikan seperti yang kita tahu ada satu perpatah mengatakan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain iaitu setiap langkah penyelesaian pasti ada kesudahannya. Oleh itu, usaha menangani tabiat merokok sudah pastinya memerlukan komitmen daripada semua pihak bermula daripada institusi keluarga lagi melalui didikan ibu bapa terhadap anak-anak dan seterusnya pada peringkat yang lebih tinggi. Apa yang pasti, melalui kerjasama dan kesedaran semua pihak maka masalah ini dapat dilenyapkan secara evolusi sekaligus menjadikan masyarakat kita bebas daripada tabiat merokok. Bak kata pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Tegasnya, bersatulah kita dalam menangani masalah rokok bersama-sama.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails